Malaysia terbang tinggi, industri aeroangkasa catat lonjakan pendapatan kepada RM25.1 bilion
PETALING JAYA: Industri aeroangkasa Malaysia terus mencatat kemajuan memberangsangkan apabila berjaya meraih pendapatan sebanyak RM25.1 bilion pada tahun 2024, dengan jangkaan pertumbuhan antara 20 hingga 25 peratus bagi tahun 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul, berkata pencapaian ini adalah hasil pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu serta Malaysian Aerospace Industry Blueprint 2030 (MAIB 2030).
“Kejayaan ini membuktikan keyakinan global terhadap keupayaan negara kita, termasuk ketahanan industri dan kemahiran tenaga kerja tempatan.
“Dengan kerjasama semua pihak, saya percaya Malaysia mampu muncul sebagai hab utama industri aeroangkasa di Asia Tenggara menjelang tahun 2030,” ujarnya.
Tengku Zafrul turut menyampaikan penghargaan kepada Malaysia Aerospace Industry Association (MAIA) atas peranan mereka dalam menyatukan pelbagai komponen ekosistem aeroangkasa negara.
“Tahniah kepada MAIA atas komitmen menyatupadukan ekosistem industri ini, merangkumi pengeluar OEM, penyedia MRO, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula, serta institusi teknikal.
“Penghargaan juga ditujukan kepada National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO) selaku rakan strategik untuk majlis malam ini, termasuk Invest Selangor dan semua rakan kerjasama atas sokongan yang tidak berbelah bahagi,” tambah beliau.


