NEW YORK: Dunia gusti profesional kehilangan salah seorang tokoh paling ikoniknya apabila Hulk Hogan dilaporkan meninggal dunia pada usia 71 tahun, menurut laporan daripada Yahoo News dan beberapa media Amerika Syarikat.
Mendiang, yang nama sebenarnya Terry Gene Bollea, ditemui tidak bernyawa di kediamannya di Clearwater, Florida, pada pagi Khamis. Portal hiburan TMZ melaporkan bahawa beliau dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.
World Wrestling Entertainment (WWE) dalam satu kenyataan rasmi meluahkan rasa dukacita atas pemergian legenda sukan tersebut.
“WWE amat berdukacita atas pemergian Hulk Hogan, salah seorang figura paling berpengaruh dalam sejarah gusti dan budaya pop dunia,” kata kenyataan itu.
“Beliau berperanan besar dalam melonjakkan populariti WWE ke peringkat antarabangsa pada era 1980-an.”
WWE turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan-rakan serta jutaan peminat Hogan di seluruh dunia.
Difahamkan, Hogan mengalami masalah kesihatan berpanjangan dan telah menjalani beberapa pembedahan dalam tempoh kebelakangan ini. Laporan akhbar Daily Star sebelum ini menyatakan beliau tidak lagi mampu bercakap dan berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan di rumah.
Hogan memulakan karier gusti profesionalnya pada tahun 1977 dengan nama pentas The Super Destroyer, sebelum beralih kepada nama Hulk Hogan, sekaligus mencetuskan fenomena Hulkamania sepanjang dekad 80-an.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah bertarung dalam perlawanan-perlawanan bersejarah menentang nama-nama besar seperti The Rock dan Andre The Giant, dan dikenang sebagai antara ikon paling tersohor dalam sejarah WWE.


