KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) masih memberi ruang kepada pelarasan kadar tarif melalui rundingan aktif bersama beberapa negara, termasuk rakan dagang dari Asia Tenggara.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata perbincangan intensif telah diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dalam usaha mencapai keseimbangan baharu dalam perdagangan global.
“Pasaran memerlukan kepastian, jadi kami telah menetapkan kadar asas bermula 1 Ogos, namun rundingan masih diteruskan. Minggu depan kami akan berbincang dengan Jepun dan hampir semua negara yang hadir turut terlibat,” katanya kepada media.
Pada Isnin, Presiden AS Donald Trump mengumumkan pengenaan tarif baharu antara 25 hingga 40 peratus terhadap 14 negara, berserta arahan eksekutif untuk pelaksanaan tarif timbal balik bermula bulan Ogos.
Rubio menjelaskan bahawa semua negara yang terlibat akan menerima notis rasmi mengenai inisiatif tersebut, yang bertujuan mengimbangi semula perdagangan antarabangsa yang dianggap tidak adil kepada ekonomi dan tenaga kerja AS.
“Langkah ini bertujuan mencipta keseimbangan baharu dalam sistem perdagangan global. Saya yakin negara-negara Asia Tenggara berpeluang mendapat kadar tarif yang lebih baik berbanding negara lain,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa AS kekal komited dalam memperkukuh hubungan strategik dan ekonomi di rantau Indo-Pasifik, khususnya Asia Tenggara yang disifatkan sebagai pusat pertumbuhan masa hadapan.
Rubio turut memuji mesyuarat tiga hala antara AS, Jepun dan Filipina, yang menurutnya menunjukkan komitmen kukuh terhadap keselamatan maritim, kedaulatan wilayah, dan pembangunan ekonomi serantau.
“Lebih 6,000 syarikat AS telah melabur di Asia Tenggara. Rantau ini memiliki populasi muda dan potensi besar. Perkembangan di Indo-Pasifik akan banyak membentuk abad ke-21 — dan kami tidak akan berundur,” katanya.


