Pelakon muda berbakat, Mierul Aiman menafikan dakwaan bahawa drama dan filem tempatan menjadi punca utama peningkatan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurut Mierul, atau nama penuhnya Muhammad Amirul Aiman Norazman, 27, karya seni seperti drama dan filem hanyalah cerminan realiti masyarakat, bukannya faktor yang mencetuskan masalah sosial tersebut.
Bintang filem Kahar: Kapla High Council itu menjelaskan bahawa elemen negatif seperti aksi rempit atau perbuatan buli dalam naskhah tempatan sebenarnya diambil daripada budaya yang telah lama wujud dalam masyarakat, bukannya dicipta atau dimulakan oleh industri seni.
“Saya sendiri membesar dengan pelbagai tontonan filem, drama dan muzik. Saya yakin karya berunsur rempit dihasilkan kerana ia mencerminkan situasi sebenar yang telah berlaku, bukan kerana selepas ditayangkan barulah muncul isu tersebut,” katanya ketika ditemui pada satu sidang media semalam.
Beliau menambah, filem dan drama berperanan sebagai medium untuk penonton berfikir, merenung dan memahami sesuatu isu, bukan sekadar hiburan semata-mata.
“Isu berat seperti buli yang dipaparkan dalam karya seni seharusnya dilihat sebagai pengajaran, bukan dorongan untuk meniru. Saya percaya penonton sudah cukup matang membezakan yang baik dan buruk, kerana sejak kecil kita telah dibimbing oleh ibu bapa dan guru tentang nilai moral,” ujarnya.
Mierul turut menyifatkan setiap naskhah seni sebagai pameran pengalaman orang lain yang tidak semua dapat alami secara langsung.
Dalam perkembangan terbaru, Juara Hero Remaja 2021 itu kini membintangi drama romantik Seadanya Kita bersama pelakon terkenal, Emma Maembong, yang memegang watak heroin.


