Pengasas Program eHati Direman Bersama 4 Individu Lain, Tarian Ghairah dan Minuman Pelik Jadi Fokus Siasatan
PETALING JAYA: Sepasang suami isteri yang juga pengasas program motivasi eHati, bersama empat individu lain, telah direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan insiden tidak senonoh yang berlaku dalam program tersebut.
Menurut laporan media tempatan, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis.
Kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 57 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan (menghina kesopanan), Seksyen 294 Kanun Keseksaan (kelakuan lucah di tempat awam) serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Peguam mewakili para suspek memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan reman, memandangkan salah seorang anak guam telah mengemukakan laporan perubatan kerana tidak sihat namun tidak diterima oleh mahkamah.
“Atas sebab itu, kami akan memfailkan semakan terhadap keputusan reman ini,” katanya kepada media di luar mahkamah, seperti dilaporkan Berita Harian.
Pasangan suami isteri yang mengendalikan program motivasi tersebut ditahan selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam.
Siasatan dimulakan susulan satu hantaran tular di Facebook yang mendakwa program eHati khusus untuk wanita, dianjurkan di Shah Alam, telah melibatkan fasilitator dan pengasasnya menanggalkan pakaian dan menari secara ghairah bersama peserta.
Lebih mengejutkan, peserta program turut didakwa diminta meminum sejenis minuman yang kononnya menyebabkan perubahan emosi dan meningkatkan rangsangan ghairah.
Hantaran sama turut mendakwa salah seorang pengasas kemudiannya menari secara mengghairahkan bersama peserta wanita lain dalam program tersebut.

