Ekonomi

Jualan Borong dan Runcit Cecah RM154.3 Bilion pada Mei – DOSM

PETALING JAYA: Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh apabila jumlah jualan keseluruhan pada Mei 2025 mencapai RM154.3 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan, DOSM menyatakan angka tersebut mencerminkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata lonjakan tersebut dipacu oleh prestasi cemerlang subsektor perdagangan borong dan runcit yang masing-masing menyumbang RM68.2 bilion dan RM67.1 bilion.

“Subsektor kenderaan bermotor turut menyumbang RM19 bilion dengan kenaikan 1.2 peratus, menandakan kestabilan dalam aktiviti perniagaan sepanjang rantaian bekalan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penggunaan kaedah pembayaran digital semakin berkembang, dengan transaksi e-wallet melonjak 70.2 peratus kepada RM21.5 bilion.

Selain itu, pembayaran segera melalui RPP dan FPX juga mencatat angka memberangsangkan, masing-masing RM289.4 bilion dan RM39.2 bilion, mencerminkan perubahan ke arah perbelanjaan digital dalam kalangan pengguna.

“Jualan oleh kedai bukan khusus meningkat 4.0 peratus kepada RM25.9 bilion, manakala kedai khusus naik 5.2 peratus. Jualan peralatan isi rumah juga bertambah 5.6 peratus, disokong oleh prestasi kukuh dalam kategori tekstil dan perabot.

“Borong barangan isi rumah, makanan dan tembakau mencatat pertumbuhan lebih 7 peratus, sementara jentera dan peralatan komunikasi meningkat 5.1 peratus kepada RM5.4 bilion,” katanya.

Tambah beliau, walaupun jualan runcit dalam talian meningkat 2.2 peratus secara tahunan, ia menyusut 3.4 peratus berbanding bulan sebelumnya selepas pelarasan bermusim.

Indeks volum perdagangan keseluruhan juga meningkat 4.1 peratus, disumbangkan oleh pertumbuhan borong sebanyak 5.8 peratus dan runcit sebanyak 3.7 peratus.

Menutup kenyataan, Mohd Uzir menyatakan bahawa Malaysia kini berada di kedudukan teratas dunia dalam senarai Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 198 negara lain.

“Pencapaian ini sejajar dengan komitmen negara dalam memacu keterbukaan data dan ketelusan maklumat,” tambah beliau.